Showing posts with label kesihatan. Show all posts
Showing posts with label kesihatan. Show all posts

31 January 2011

Artikel motivasi - Tips Untuk Menjaga Kesihatan Anda

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan perkataan sihat sebagai keadaan sempurna fizikal ,mental dan sosial dan tidak hanya ketika ketiadaan sakit. Bagi mana-mana organisma, kesihatan ialah satu bentuk homeostasis. Hal ini merupakan satu imbangan di mana tenaga dan jisim masuk dan keluar berada dalam keseimbangan yang membolehkan pertumbuhan. Kesihatan juga membawa erti kemampuan untuk meneruskan hidup dengan prospek positif. Untuk merasai sihat, seseorang itu perlu merasakan dirinya sihat dan tiada risiko dalaman atau luaran yang boleh mengganggu kesihatannya.

Sebenarnya, pengambilan makanan berkhasiat merupakan salah satu cara untuk memastikan kesihatan yang baik. Hal ini disebabkan punca utama serangan penyakit-penyakit tenat seperti kanser dan penyakit jantung ialah sebab tidak memakan makanan yang sempurna dan kurang memakan makanan yang berkhasiat. Corak pemakanan yang teratur sepatutnya dimulakan sejak awal lagi untuk menentukan keadaan kesihatan kita.

Selain itu, terdapat beberapa ciri makanan yang biasa diamalkan oleh masyarakat yang harus dielakkan kerana ia merupakan makanan yang tidak sihat. Pertama, makanan yang terlalu banyak lemak dan kolesterol seperti daging, telur, hasil tenusu, keju merupakan sumber protein, vitamin dan galian yang baik tetapi ia juga mengandungi banyak lemak dan kolesterol. Lemak boleh menyebabkan kegemukan, mendorong serangan jantung dan meningkatkan risiko serangan kanser sementara kolesterol menjadi punca utama sakit jantung.

Seterusnya, makanan yang terlalu banyak gula seperti kek coklat dan aiskrim mengandungi banyak gula yang memberikan sejumlah besar kalori tanpa khasiat makanan atau serat. Kehadiran gula juga menggantikan makanan yang berkhasiat dan menyingkirkan beberapa vitamin dan galian dari tubuh. Di samping itu, memakan gula yang berlebihan bermakna anda menanggung risiko kerosakan gigi, kegemukan dan masalah-masalah lain yang dikaitkan dengannya seperti kencing manis, serangan jantung dan sebagainya.

Ketiga, makan makanan yang terlalu banyak garam seperti makanan segera, makanan dalam tin, daging yang diawet dan makanan ringan bergaram. Memakan terlalu banyak garam boleh menyebabkan tekanan darah tinggi yang akhirnya boleh membawa kepada serangan jantung atau strok. Sesetengah orang mungkin menghadapi masalah terlalu banyak air di bawah kulit (edema).

Secara kesimpulannya, setiap manusia mempunyai keperluan yang berbeza, oleh itu anda harus menentukan sendiri apa yang terbaik untuk diri anda. Untuk memastikan anda tidak makan berlebihan , anda mungkin perlu menimbang berat badan dari semasa ke semasa . kita juga perlu mengimbangi tenaga yang kita perolehi dengan tenaga yang digunakan untuk kegiatan seharian. Masyarakat perlu sentiasa ingat “makan makanan berkhasiat, jamin sihat selalu”.

27 January 2011

Artikel motivasi - Kesihatan Cemerlang Hidup Riang!

Apa itu kesihatan? Mungkin ramai sudah tahu apa itu kesihatan.  Persatuan Kesihatan Sedunia telah mengemukakan maksud kesihatan yang lebih mendalam iaitu suatu keadaan kesempurnaan fizikal, mental, dan sosial yang mencukupi, dan bukannya hanya ketiadaan penyakit atau kelemahan. Untuk pengetahuan semua, kesihatan adalah sebahagian yang sangat penting dalam diri kita. Setiap orang mempunyai kesihatan yang tersendiri tidak kira baik ataupun tidak baik. Ia bergantung kepada bagaimana cara seseorang itu menguruskannya dengan baik. Kesihatan boleh dikategorikan kepada beberapa aspek seperti kesihatan dari segi mental, fizikal, jasmani dan rohani.

Pertamanya, kita lihat dari segi kesihatan fizikal. Tidak semestinya orang yang nampak sihat dari luaran tidak mempunyai masalah kesihatan. Kadang-kala, orang yang beginilah yang banyak mempunyai masalah kesihatan. Mereka jarang membuat pemeriksaan kesihatan sebagaimana yang telah ditetapkan kerana beranggapan bahawa mereka masih lagi sihat dan kuat. Tanpa mereka sedari, ini akan membahayakan lagi diri mereka sendiri. Kita seharusnya membuat pemeriksaan mengikut masa yang telah ditetapkan supaya kita dapat mengetahui tahap kesihatan diri kita. Dengan cara ini, kita dapat mengambil langkah berjaga- jaga apabila melakukan sesuatu sesuatu agar tidak menjejaskan kesihatan. Contohnya,  ramai yang beranggapan bahawa makanan boleh menyihatkan tubuh badan, tapi sebaliknya tidak. Dari kajian yang telah di buat, makanan sahaja   tidak cukup untuk menyihatkan tubuh badan seseorang, malah ia harus di susuli dengan bersenam. Dengan cara ini, keseimbangan tubuh badan akan tercapai. selain itu, cara pemakanan juga berbeza mengikut umur, jantina dan penyakit. Maka, kita haruslah berhati- hati semasa hendak memilih makanan. Pilihlah makanan mengikut keseimbangan masing- masing.

Setiap orang inginkan gaya hidup yang sihat. Maka, mereka haruslah mengubah cara kehidupan mereka dari yang tidak baik kepada yang lebih baik. Tidak rugi kalau seseorang itu mengubah cara hidupnya kerana setiap orang ingin menikmati kehidupan yang lebih sempurna dan ingin memiliki minda serta tubuh badan yang sihat. Mustahil ada yang mahu hidup dalam keadaan yang terumbang- ambing, penuh dengan masalah serta penyakit. Semuanya mahukan kehidupan yang mempunyai hala tuju yang elok serta jauh dari sebarang  penyakit yang merbahaya. Dengan cara ini, mereka akan lebih bersemangat dan berkeyakinan untuk terus hidup. Contohnya, kita dapat melihat  persekitaran sekeliling yang penuh dengan industri serta pembangunan yang tidak terkawal. Kita harus mengelak dari persekitaran yang boleh memudaratkan kesihatan seperti asap- asap kilang dan kenderaan. Ini dapat mengundang penyakit- penyakit seperti sakit paru- paru, batuk dan sebagainya. Maka,  tahap kesihatan kita akan semakin berkurangan jika berterusan seperti ini.

Selain itu, mata pelajaran Pendidikan Jasmani yang di ajar di sekolah-sekolah juga membantu dalam tumbesaran kanak- kanak. Minda mereka akan bertindak dengan cepat kerana otak mereka dapat berfungsi dengan cergas dan cerdas.

Kesimpulannya, terdapat banyak pilihan yang boleh membawa anda ke arah kehidupan yang sihat. Tetapi, semuanya bergantung kepada diri kita sendiri kerana kitalah yang akan menentukan pilihan- pilihan tersebut.
Maka, untuk mencapai kehidupan yang sihat, buatlah pilihan yang bijak agar berpeluang untuk mengecapi setiap detik dalam kehidupan anda.