29 January 2011

Artikel motivasi - Perlunya Kita Menjadi Sabar

Kesabaran ialah sifat yang dipuji oleh semua agama di dunia dan diakui kebaikannya oleh para ilmuan,raja dan pentadbir. Orang yang sabar menerima segala cabaran dengan tenang dan memikirkannya dengan teratur. Semangat ketabahan yang ada pada seorang yang sabar itu menunjukkan kewibawaannya dalam menjalankan tugas, keberaniannya menghadapi dugaan dan kepercayaan terhadap matlamat yang perlu dicapai.

Terdapat beberapa kesan positif untuk kesabaran. Antaranya seseorang akan tenang menghadapi masalah yang rumit, berani menerima cabaran yang terdapat dalam kehidupan mereka, sentiasa mengamalkan sifat pemaaf dan berhemah tinggi serta cermat dalam tutur kata. Sebagai contohnya, seseorang pegawai yang mempunyai sifat kesabaran, ketabahan dan kerajinan semasa menjalankan tugasnya dengan baik. Beliau mungkin akan menjadi model untuk orang lain dan menerima ganjaran seperti kenaikan pangkat. Contoh yang seterusnya,  seseorang itu dapat mengelakkan kesilapan dan kesalahan dalam membuat pertimbangan terhadap setiap masalah. Masalah itu disiasat, dianalisis serta diberi pertimbangan yang wajar sebelum sesuatu ketetapan atau keputusan dibuat. Insan yang mengamalkan sifat kesabaran akan selalu tenang, berani dan mempunyai perhitungan jauh yang dapat melahirkan ketelitian dan cermat dalam membuat keputusan. Contoh yang terakhir ialah sifat kesabaran akan menyebabkan seseorang menjadi bertimbang rasa dan dapat mengelak dari sifat gopoh. Misalnya, jika sesuatu kerja terlalu hendak cepat disiapkan semata-mata untuk memuaskan kemahuan sendiri akan menimbulkan ketegangan dan menyebabkan kerja tidak sempurna. Hal in akan membawa salah faham dan permusuhan.

Apakah akibatnya jika seseorang iru tidak mempunyai sifat kesabaran? Orang yang tidak sabar selalu mengubah pendirian dan keputusan, tidak sanggup berkorban, takut menghadapi cabaran, lekas mengalah, berpandangan sempit, tidak tahan menghadapi kesusahan dan tidak bertanggungjawab. Sebagai contohnya, amalan negatif akan menyebabkan orang tersebut mempunyai sifat pemarah yang melahirkan perilaku buruk seperti cepat mencari kesalahan orang lain dan memaki hamun orang lain, walaupun perkara yang dimarahkan itu kecil sahaja. Seterusnya, seseorang itu akan mencari jalan keluar yang tidak tepat untuk mengatasi masalah seperti mengambil dadah, minum arak dan berjudi yang akan mendatangkan kemudaratan.  Tanpa sifat kesabaran juga seseorang akan berasa sukar dan lemah semangat bila menerima cabaran besar dalam menjalankan tugas. Di samping itu, sifat lekas mengalah boleh menghalang peningkatan produktiviti dan kualiti.

Kesimpulannya, sifat kesabaran memang mendatangkan manfaat dan faedah kepada insan jika dipegang dengan betul. Oleh itu, sifat kesabaran haruslah ditanam  dalam jiwa masyarakat kita supaya semua orang dapat menikmati kebaikannya bersama-sama. Pemimpin negara haruslah memikirkan bagaimana golongan remaja yang merupakan modal insan negara pada masa hadapan boleh disemai dengan sifat integriti , berwawasan dan  dan kesabaran.

No comments:

Post a Comment