31 January 2011

Artikel motivasi - Tips Untuk Menjaga Kesihatan Anda

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan perkataan sihat sebagai keadaan sempurna fizikal ,mental dan sosial dan tidak hanya ketika ketiadaan sakit. Bagi mana-mana organisma, kesihatan ialah satu bentuk homeostasis. Hal ini merupakan satu imbangan di mana tenaga dan jisim masuk dan keluar berada dalam keseimbangan yang membolehkan pertumbuhan. Kesihatan juga membawa erti kemampuan untuk meneruskan hidup dengan prospek positif. Untuk merasai sihat, seseorang itu perlu merasakan dirinya sihat dan tiada risiko dalaman atau luaran yang boleh mengganggu kesihatannya.

Sebenarnya, pengambilan makanan berkhasiat merupakan salah satu cara untuk memastikan kesihatan yang baik. Hal ini disebabkan punca utama serangan penyakit-penyakit tenat seperti kanser dan penyakit jantung ialah sebab tidak memakan makanan yang sempurna dan kurang memakan makanan yang berkhasiat. Corak pemakanan yang teratur sepatutnya dimulakan sejak awal lagi untuk menentukan keadaan kesihatan kita.

Selain itu, terdapat beberapa ciri makanan yang biasa diamalkan oleh masyarakat yang harus dielakkan kerana ia merupakan makanan yang tidak sihat. Pertama, makanan yang terlalu banyak lemak dan kolesterol seperti daging, telur, hasil tenusu, keju merupakan sumber protein, vitamin dan galian yang baik tetapi ia juga mengandungi banyak lemak dan kolesterol. Lemak boleh menyebabkan kegemukan, mendorong serangan jantung dan meningkatkan risiko serangan kanser sementara kolesterol menjadi punca utama sakit jantung.

Seterusnya, makanan yang terlalu banyak gula seperti kek coklat dan aiskrim mengandungi banyak gula yang memberikan sejumlah besar kalori tanpa khasiat makanan atau serat. Kehadiran gula juga menggantikan makanan yang berkhasiat dan menyingkirkan beberapa vitamin dan galian dari tubuh. Di samping itu, memakan gula yang berlebihan bermakna anda menanggung risiko kerosakan gigi, kegemukan dan masalah-masalah lain yang dikaitkan dengannya seperti kencing manis, serangan jantung dan sebagainya.

Ketiga, makan makanan yang terlalu banyak garam seperti makanan segera, makanan dalam tin, daging yang diawet dan makanan ringan bergaram. Memakan terlalu banyak garam boleh menyebabkan tekanan darah tinggi yang akhirnya boleh membawa kepada serangan jantung atau strok. Sesetengah orang mungkin menghadapi masalah terlalu banyak air di bawah kulit (edema).

Secara kesimpulannya, setiap manusia mempunyai keperluan yang berbeza, oleh itu anda harus menentukan sendiri apa yang terbaik untuk diri anda. Untuk memastikan anda tidak makan berlebihan , anda mungkin perlu menimbang berat badan dari semasa ke semasa . kita juga perlu mengimbangi tenaga yang kita perolehi dengan tenaga yang digunakan untuk kegiatan seharian. Masyarakat perlu sentiasa ingat “makan makanan berkhasiat, jamin sihat selalu”.

No comments:

Post a Comment