02 February 2011

Artikel Motivasi - Membaca Banyak Faedahnya!

Buku merupakan rakan karib manusia. Kepentingannya ketara sekali dalam kehidupan manusia. Bagi pelajar-pelajar dan mahasiswa-mahasiswi, buku adalah harta yang paling dekat dengan mereka dan harus mereka sayangi. Daripada membaca, mereka dapat mempelajari sesuatu perkara atau pelajaran yang dapat menambahkan ilmu pengetahuan, sehingga membolehkan mereka berjaya dalam mencapai kejayaan dalam hidup mereka.

Untuk meluas dan menambahkan ilmu pengetahuan, kita boleh membaca buku, akhbar dan majalah. Misalnya, melalui pembacaan buku, kita dapat mengetahui cerita-cerita tentang manusia zaman purba dan cara hidup mereka. Buku-buku ini disediakan untuk mengumpulkan cerita-cerita tentang sejarah lama yang dikhaskan untuk generasi yang akan datang. Dengan itu, kejayaan-kejayaan manusia mencipta nama dalam pelbagai bidang dapat disimpan lama dan dijadikan panduan untuk generasi yang akan datang. Generasi baru dapat mengorak langkah dengan lebih cemerlang lagi bagi mencipta kejayaan yang baru.

Melalui membaca, kita boleh menggunakan ilmu yang kita perolehi daripada pembacaan untuk membantu diri sendiri atau orang lain di saat ditimpa kesusahan atau kesulitan. Contohnya, apabila kita bertemu dengan mangsa kemalangan yang memerlukan rawatan segera, kita boleh mempraktikkannya ke atas mangsa kemalangan tersebut disebabkan kita ada membaca buku tentang cara-cara rawatan kecemasan. Selain itu, ada juga bahan bacaan yang memberikan banyak pengajaran dan contoh teladan yang dapat membimbing kita dalam kehidupan. Malah juga ada buku yang boleh mengajar kita cara-cara untuk mengatasi masalah hidup dan memberikan jalan penyelesaian untuk memperbaiki taraf hidup kita.

Melalui kecanggihan sains dan teknologi, kita mampu memperolehi maklumat-maklumat terkini melalui Internet. Bahan bacaan ini akan membantu pembelajaran kita di dalam kelas. Di samping itu, kita dapat memahirkan pertuturan lisan dengan membaca. Kita juga mampu memperbaiki mutu penulisan kita dengan melahirkan karangan yang lebih mantap. Melalui pembacaan, kita akan mempunyai fikiran yang lebih matang dan dapat menghiburkan hati kita. Dengan membaca buku juga, kita dapat mengisi masa lapang yang ada dengan sepenuhnya.

Justeru itu, buku merupakan guru kedua bagi pelajar dan mahasiswa. Buku amat berguna kerana dapat menambah pemahaman mereka tentang pelajaran yang telah diperolehi daripada guru-guru di sekolah. Jika mereka tidak membaca buku, kejayaan tidak akan dicapai oleh mereka dengan cemerlangnya disebabkan oleh kekurangan pengetahuan.

Kesimpulannya, membaca dapat meluaskan ilmu pengetahuan dan pengalaman, maka setiap orang patut memupuk minat membaca sejak kecil lagi. Kita harus menjadikan amalan membaca sebagai amalan hidup kita.

No comments:

Post a Comment